KOTA BHARU, 16 Januari- Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM400 juta wang hasil petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan sejak dua tahun lalu.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pembayaran itu diberikan secara langsung kepada Kelantan, berdasarkan lima peratus hasil petroleum negeri terbabit dan mengikut harga petroleum semasa.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata jumlah pembayaran yang disalurkan ini meningkat berlipat kali ganda berbanding pada tahun 2019 dengan jumlah yang diberikan sebanyak RM28 juta.
“Pembayaran ini dibuat secara langsung dan 100 peratus disalurkan kepada kerajaan negeri bergantung kepada harga semasa petroleum," katanya.
“Bagi tahun lalu kita salurkan RM200 juta dan tahun 2020 juga RM200 juta," katanya pada sidang media selepas majlis taklimat Bajet 2022 bersama penjawat awam negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah.
Mengulas perkembangan lain, Zafrul berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.39 bilion kepada negeri itu tahun ini membabitkan kelulusan 351 projek pembangunan berbanding 1.8 bilion dengan 340 projek tahun lalu.
“Peruntukan meningkat tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan jumlah projek juga bertambah, yang mana projek pembangunan ini merangkumi projek lama dan baharu,” katanya.
Beliau berkata, antara projek berkenaan termasuk pembinaan jambatan Palekbang membabitkan kos RM250 juta, projek mesra rakyat berjumlah RM102 juta dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berjumlah RM483 juta.