(Bank Negara Malaysia)
KUALA LUMPUR, 1 April- Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka tidak akan dinaikkan dalam masa terdekat, susulan paras inflasi yang masih terkawal ketika ini.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff turut berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil kira beberapa faktor sebelum pelarasan OPR dibuat.
"Kalau kita lihat kadar inflasi yang masih kekal 3.7% pada Februari dan seperti bulan sebelumnya adalah masih lagi dianggap rendah serta boleh dikawal.
"Kenaikan OPR seperti yang maklum memang bergantung kepada situasi kadar inflasi semasa dan masih terlalu awal untuk kita melihat keputusan BNM sama ada akan naikkan kadar OPR atau sebaliknya," katanya.
Jelasnya, MPC BNM akan meneliti perkembangan semasa untuk tempoh dua bulan akan datang, merangkumi aktiviti ekonomi domestik dan global serta pengaruhnya terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
MPC BNM dijadual mengadakan mesyuarat ketiganya Mei ini bagi menentukan OPR seterusnya.
Mac lalu jawatankuasa itu memutuskan, OPR kekal pada 2.75%.
(Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff)