fb fb fb fb fb

Operasi SAR tragedi Jeram Air Putih diteruskan JBPM esok

KEMAMAN, 5 Julai- Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Polis di Balai Polis Air Putih Kemaman telah ditutup, pada pukul 5.00 petang tadi.

Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bermula esok.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, "penutupan dibuat berikutan operasi SAR dua lagi mangsa iaitu Puteri Nur Fatin Karim, 14 dan Muhammad Fikri Saliman, 24, tidak mempunyai sebarang petunjuk selain faktor cuaca.

"Saya sebagai ketua polis daerah mengingatkan semua agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mencari hendaklah mematuhi tatacara pengendalian piawai (SOP) jabatan masing-masing dalam usaha pencarian.

"Saya tidak mahu ada tragedi dalam tragedi. Petang ini PKTK ditutup manakala pusat kawalan hadapan bomba akan diteruskan esok untuk meneruskan operasi pencarian," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Zon 2 JBPM Terengganu, Penguasa Kanan Bomba Dua Azman Alias berkata, pihaknya telah menambah dua lagi pusat kawalan hadapan di Pasir Minal dan Kampung Seberang Tayor.

"Kita sudah melakukan SAR hingga Kuala Kemaman dan kita akan tetap terus mencari. Kebanyakan nelayan sentiasa keluar masuk sektor C. Pencarian sektor A masih lagi berbaki 60%. Di sektor A kawasan yang belum kita cari adalah sehingga Jambatan Teladas," katanya.

Mangsa kelapan tragedi itu, Putri Alleya Maisara Karim, 16, dijangka dikebumikan di Felda Lepar Hilir malam ini.

(Hanyan Ramlan)

Media Baharu