fb fb fb fb fb

Pemain industri digital, bandar pintar dipelawa sertai SMIX 2023

(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)

AYER KEROH, 5 Julai- Semua pemain industri digital dan bandar pintar tempatan dan luar negara dipelawa untuk menyertai Persidangan Antarabangsa dan Expo Smart Melaka 2023 (SMIX 2023) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dari 12 hingga 14 Oktober ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia merupakan platform terbaik bagi semua pemain industri digital dan bandar pintar dari seluruh dunia untuk berbincang dan bertukar fikiran, selain mengadakan pelbagai aktiviti bagi membangunkan industri digital dan bandar pintar.

Ia sekali gus dapat memperluas pelaksanaan inisiatif pintar dan pemerkasaan data di bawah “Smart Melaka Blueprint 2035”, selari dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 iaitu pendigitalan dalam ekonomi digital.

"Saya juga mencadangkan MITC bukan sahaja menjadi tempat konvensyen tetapi akan menjadikan pasaraya digital yang terbesar juga akan kita kita anjurkan.

"Pada penganjuran SMIX 2023 juga, pelbagai produk komunikasi atau digital untuk pengguna seperti telefon bimbit dan peralatan elektrik turut akan dipamer dan dijual.

"Kita menyasarkan penglibatan kira-kira 10,000 orang terdiri daripada peserta dan pelawat sepanjang penganjuran SMIX 2023 yang merupakan penganjuran kali kedua," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran SMIX 2023 di Ayer Keroh hari ini.

Penganjuran SMIX 2023 juga dijangka akan memberi impak pelaburan yang besar kepada ekonomi negeri dan rakyat, selain pembangunan infrastruktur digital ke arah capaian 5G di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata kerajaan negeri tidak pernah atau tidak akan bertindak zalim kepada rakyat termasuk peniaga di Uptown Pahlawan Walk, Banda Hilir.

Jelasnya peniaga di Uptown Pahlawan Walk akan dipindahkan ke kawasan yang lebih baik dan beberapa siri perbincangan sedang dilakukan antara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan peniaga terlibat bagi mencapai persetujuan kedua-dua pihak terlibat.

"Setakat perbincangan awal yang dilakukan bersama peniaga terlibat malam tadi, ramai antara peniaga teruja untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha yang kerajaan negeri lakukan untuk membantu mereka. Kita akan mengambil berat semua pandangan dan cadangan terutama daripada peniaga di kawasan terlibat untuk mencapai titik persamaan berkaitan isu itu," katanya.

Peniaga terlibat di kawasan berkenaan diminta mendapatkan penjelasan lebih lanjut dan jelas daripada MBMB.

Dalam masa yang sama beliau berharap tiada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan maklumat tidak berasas atau tidak tepat seperti video tular berkaitan isu pemindahan Uptown Pahlawan Walk.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu