(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)
JOHOR BAHRU, 5 Julai- Sebanyak lebih RM123 juta disumbangkan Keluarga Diraja Johor bagi membantu 1.6 juta rakyat di negeri ini dalam mendepani cabaran sepanjang pandemik COVID-19.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sentiasa di hadapan ketika berdepan tempoh genting itu.
Malah baginda sanggup mengambil risiko dengan menitahkan pegawai-pegawai istana turun ke kelapangan bagi menghulurkan bantuan berupa kit dan peralatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
“Tidak cukup dengan itu, keluarga Diraja Johor sentiasa di hadapan dalam misi bantuan bencana banjir, ribut, kebakaran, bantuan kepada golongan asnaf, bantuan pendidikan, bantuan kesihatan selain memperjuangkan serta melindungi hak asasi wanita dan kanak-kanak.
“Atas sifat ihsan dan kasih Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor, maka lahirlah simbiosis erat antara Istana dengan rakyat jelata,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Yayasan-Yayasan Diraja Johor dan Pelancaran Buku serta Portal Kesultanan Johor, di Johor Bahru hari ini.
Onn Hafiz turut menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Johor atas kurniaan peribadi dan bantuan baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada seluruh rakyat di negeri itu.
Tambahnya, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan bantuan kepada rakyat menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ).
Pada majlis sama, Onn Hafiz menyampaikan sumbangan sebanyak RM7 juta daripada kerajaan negeri kepada YSIJ, YRZSNJ, YKTLJ, Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) dan Yayasan Sultanah Fatimah (YSF).

(Datuk Onn Hafiz menyampaikak sumbangan kepada Yayasan Sultanah Rogayah (YSR)