fb fb fb fb fb

Operasi Pra TBC: JPJ Melaka keluarkan 407 notis

(Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff)

MELAKA, 18 Januari- Sebanyak 407 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka sempena Operasi Pra Tahun Baharu Cina (TBC) yang diadakan sejak 14 Januari hingga semalam.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata daripada jumlah itu, Notis JPJ(P)22 iaitu notis arah periksa mencatatkan bilangan tertinggi sebanyak 304 notis.

(Pemantauan akan diteruskan dengan Operasi TBC yang bermula hari ini hingga 27 Januari)

Menerusi operasi empat hari itu juga, pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap 1,004 kenderaan dan 180 kenderaan telah diambil tindakan.

Sebanyak 337 kesalahan direkodkan melibatkan pelbagai kesalahan.

"Antara kategori kesalahan yang dikenakan lesen kenderaan motor dan insuran tamat tempoh sebanyak 114. Tiada lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh sebanyak 113.

"Lebih muatan sebanyak 6, penggunaan cermin gelap sebanyak 23 dan berkaitan dengan nombor pendaftaran sebanyak 14.

"Manakala, kesalahan teknikal sebanyak 41 dan lain-lain kesalahan sebanyak 24 atau 26 kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Ops Depoh TBC 2023 di Malim, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, pemantauan akan diteruskan dengan Operasi TBC yang bermula hari ini hingga 27 Januari.

Media Baharu