KUALA LUMPUR, 18 Januari- Projek rintis Cashless@PEDi dilancarkan di 28 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) terpilih di seluruh negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan projek rintis itu bertujuan membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat luar bandar menerusi pameran dan aktiviti.
Projek dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu, selari dengan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia untuk mempertingkatkan tahap literasi pembayaran digital.
Projek tersebut bermula di PEDi PPR Sri Pantai dan PEDi PA Seri Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 31 Disember tahun lalu.
Kemudian, diteruskan di PEDi Taman Kelisa serta PEDi Soeharto, diikuti beberapa PEDi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Berdasarkan cerapan PayNet, 78% rakyat negara ini masih cenderung melakukan pembayaran tunai pada 2021.
(Foto hiasan)
Namun, trend sama menurun sebanyak 11% pada 2020.
Bagaimanapun, ia kembali meningkat tahun lalu terutama di kawasan luar bandar.