Operasi FDS di Sarawak ditangguh sementara, penilaian menyeluruh dilaksana


KUALA LUMPUR, 10 September – Semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan serta semakan menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan mekanisme operasi perkhidmatan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan penilaian menyeluruh kerangka FDS Sarawak termasuk kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan dan keberkesanan model penyampaian.
  • Lokasi dan kaedah akses perkhidmatan akan dinilai semula, termasuk alternatif pengangkutan serta pendekatan lebih selamat dan praktikal.
  • Perkhidmatan Medevac kecemasan diteruskan bersama Jabatan Bomba; perbincangan dengan ATM untuk meneroka penggunaan aset bagi pemindahan pesakit.
  • Kementerian menegaskan keselamatan petugas dan pesakit keutamaan, sambil memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata penilaian menyeluruh akan dilaksanakan terhadap kerangka penyampaian FDS di Sarawak merangkumi aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.

“Usaha ini bagi memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan semakan operasi FDS di Sarawak itu susulan nahas helikopter yang mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas kesihatan yang dalam tugas rasmi, pada 8 Semptember lalu.

Selain itu katanya, lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS akan turut dinilai semula merangkumi penggunaan alternatif pengangkutan serta pendekatan lain yang lebih selamat dan praktikal.

“Perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan terus dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diadakan bagi meneroka penggunaan aset ATM untuk membantu memindahkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian,” katanya lagi.

Pada masa sama, Datuk Seri Dr. Dzulkefly berkata kementeriannya memahami kesulitan dan cabaran yang mungkin timbul susulan keputusan penangguhan sementara tersebut namun menegaskan, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan di samping, memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.