Kawasan ECRL Cherating bakal dilengkapi trek lumba, padang golf

Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib

KUALA LUMPUR, 10 September – Kawasan di sekitar stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Cherating bakal dibangunkan sebagai pusat perbandaran baharu serba lengkap bawah projek Pahang Aerospace City (PAC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sekitar stesen ECRL, lengkap dengan hotel, gedung perniagaan dan pusat beli-belah.
  • Tarikan baru: trek perlumbaan kereta dan motosikal untuk golongan muda bagi menghidupkan suasana kompleks pembangunan.
  • Kerjasama dengan GreenRE memastikan semua bangunan baharu mesra alam, menyokong kelestarian dan usaha mengurangkan pencemaran udara menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, perancangan itu bertujuan menjadikan Cherating sebagai pusat tumpuan antarabangsa di kawasan pesisir pantai yang menggabungkan tempat kerja, perniagaan, pelancongan, dan rekreasi.

“Kawasan sekitar stesen ECRL Cherating turut akan dibangunkan berorientasikan transit (TOD), dengan pelbagai kemudahan seperti hotel, gedung perniagaan dan pusat beli-belah.

“Selain itu, satu tarikan baharu turut dirancang, iaitu trek perlumbaan kereta dan motosikal untuk golongan muda. Ini dijangka dapat menghidupkan lagi suasana di kompleks pembangunan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara GreenRE Sdn Bhd dan Pahang Aerospace City Development Berhad (PACDB) sempena International Sustainability Week (ISW) bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara.

Selain lokasi riadah, kawasan perbandaran baharu tersebut juga menyediakan perumahan seperti rumah banglo dan semi-D bagi menampung penempatan pekerja serta pakar yang bekerja di situ.

Pada masa sama, PACDB turut bekerjasama dengan badan persijilan GreenRE bagi memastikan semua bangunan baharu yang dibina mesra alam dan tidak merosakkan persekitaran.

Kerjasama itu penting bagi memastikan aspek kelestarian diberi perhatian dalam pembangunan PAC.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen Pahang untuk memastikan kelestarian kekal menjadi bahagian penting dalam pembangunan masa hadapan.

“Memandangkan kita terus menarik pelaburan bernilai tinggi, pertumbuhan ekonomi mesti diiringi dengan pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab,” katanya.

Langkah mesra alam itu merupakan langkah penting bagi menyokong hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk menjaga kebersihan alam sekitar serta mengurangkan pencemaran udara menjelang tahun 2030.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.