MAIWP agih dana zakat RM84.36 juta tingkat pendidikan pelajar asnaf

Foto MAIWP

KUALA LUMPUR, 10 September – Majlis Agama islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan RM84.36 juta dana zakat setakat Ogos lepas bagi membantu pendidikan anak asnaf merangkumi keperluan dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi (IPT).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan dianggap jalan terbaik meningkatkan ekonomi dan taraf hidup umat; pelajar cemerlang jadi bukti keberkesanan sumbangan zakat.
  • MAIWP memperuntuk lebih RM3.58 juta menghargai 1,345 pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM 2025 termasuk peserta hafazan.
  • MAIWP memiliki 92 institusi pendidikan dari pusat asuhan hingga IPT, memberi manfaat kepada 7,441 pelajar dan pelatih.
  • Terdapat 38 skim bantuan zakat merangkumi kebajikan, pendidikan, keusahawanan, perubatan, perlindungan dan pembangunan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata kecemerlangan pelajar menjadi bukti keberkesanan sumbangan para pembayar zakat.

“Dalam usaha kita mempertingkat ekonomi dan juga taraf kehidupan umat Islam ini, pendidikanlah yang terbaik. Jadi anak-anak ini yang kita biayai menerusi wang dana zakat. Alhamdulillah mereka menunjukkan kecemerlangan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan MADANI MAIWP tahun 2026 di ibu negara.

Beliau berkata MAIWP memperuntuk lebih RM3.58 juta bagi menghargai 1,345 pelajar yang mencatatkan kecemerlangan dalam peperiksaan SPM, STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia tahun 2025 termasuk peserta hafazan Al-Quran.

“Ketika ini, MAIWP mempunyai 92 institusi pendidikan bermula daripada pusat asuhan hingga peringkat pengajian tinggi yang memberi manfaat kepada 7,441 pelajar dan pelatih,” ujar beliau lagi.

MAIWP turut menyediakan 38 skim bantuan zakat merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, keusahawanan, perubatan, perlindungan dan pembangunan ummah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.