PUTRAJAYA, 9 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritime Rescue Co-ordinating Centre (MRCC) Putrajaya mengaktifkan semula Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang kru kapal layar Daisy warga Turkiye yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Yu, Terengganu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pencarian disambung selepas menerima permohonan rasmi daripada Kedutaan Besar Turkiye melalui Kementerian Luar Negeri pada 8 Ogos.
Mangsa, Eser Demirkol, merupakan seorang daripada tiga kru kapal layar yang karam pada 31 Julai lalu. Dua kru lain telah ditemui sebelum ini.
Operasi CARILAMAT terdahulu dilaksanakan selama tujuh hari meliputi kawasan seluas 457.61 batu nautika persegi, membabitkan aset laut, udara, pasukan penyelam Special Tasks and Rescue Team (STAR Team) serta bantuan Remotely Operated Vehicle (ROV). Operasi tersebut ditamatkan pada 6 Ogos selepas tiada petunjuk baharu ditemui.
Menurut Datuk Mohd Rosli, usaha kali ini memfokuskan pencarian di antara lokasi kapal karam dan lokasi penemuan mangsa kedua dengan penggunaan aset laut dan udara bagi mengoptimumkan liputan operasi.
“Maritim Malaysia komited melaksanakan operasi ini dan akan berusaha sedaya upaya sehingga menemui petunjuk positif,” tegasnya.
Beliau turut menggesa komuniti maritim untuk melaporkan sebarang penemuan berkaitan mangsa dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau MRCC Putrajaya di 03-8941 3140 yang beroperasi 24 jam.