fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia dijangka kekal sederhana pada 2026

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar sederhana pada 2026 meskipun berdepan ketidakpastian perdagangan global serta permintaan luaran yang perlahan.

Dalam Kenyataan PraBelanjawan 2026, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, ia didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pelaburan swasta, pasaran buruh kukuh dan langkah peningkatan pendapatan seperti bantuan tunai bersasar serta kenaikan gaji.

Prestasi ekonomi kekal berdaya tahan dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 4.4 peratus pada suku pertama 2025 dan diunjur meningkat 4.5 peratus pada suku kedua.

MOF menegaskan, Belanjawan 2026 akan berpaksikan tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, termasuk menaikkan siling pertumbuhan negara untuk melonjakkan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan berdaya saing berteraskan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial.

Tumpuan diberikan kepada transformasi asas perindustrian, meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai global, pelaburan dalam sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV), serta pengenalan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu pada suku ketiga 2025 bagi menarik pelaburan berkualiti.

Di samping itu, Belanjawan 2026 akan memacu reformasi sektor awam melalui pemodenan perkhidmatan, pengukuhan integriti dan tadbir urus, pengoptimuman sumber awam serta peminimuman ketirisan.

Ini termasuk pembaharuan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS 2024-2028) serta pengenalan akta baharu seperti Akta Perolehan Kerajaan dan Akta Kebebasan Maklumat.

Pendigitalan perkhidmatan awam akan dipergiat dengan penggunaan AI, analitik data raya dan automasi bagi memperkukuh kecekapan penyampaian, selain inisiatif GovTech di seluruh negara.

Dalam aspek kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2026 akan menangani kos penjagaan kesihatan swasta, memperluas perlindungan golongan rentan, meningkatkan akses ubat-ubatan mampu milik, memperkukuh penjagaan asas luar bandar, memajukan teleperubatan, serta mempertingkat kesiapsiagaan sistem kesihatan.

Agenda pendidikan turut diperkasa dengan fokus kepada Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembelajaran sepanjang hayat dan kerjasama industri untuk pembangunan kemahiran selaras dengan permintaan sektor industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

Bagi sokongan sosioekonomi, kerajaan akan meneruskan bantuan bersasar bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi, beralih daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, serta memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara.

Strategi pemerkasaan kumpulan sasar meliputi pengembangan program TVET, sokongan perusahaan sosial, akses pembiayaan digital untuk belia, serta pelaburan dalam infrastruktur penjagaan kanak-kanak, aturan kerja fleksibel dan program keusahawanan wanita.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE