fb fb fb fb fb

Program Kampung & Sekolah Angkat MADANI tarik penyertaan besar syarikat swasta

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini / BERNAMA

KOTA BHARU, 9 Ogos – Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI menerima sambutan menggalakkan daripada syarikat-syarikat swasta, melebihi sasaran awal yang ditetapkan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah kampung dan sekolah yang 'diangkat' oleh pihak swasta telah pun melangkaui jangkaan.

“Kita mempunyai syarikat-syarikat besar di Malaysia, malah ada yang boleh dianggap sebagai syarikat gergasi. Ada antara mereka yang melabur puluhan bilion, malah ratusan bilion dolar Amerika di luar negara.

“Sebab itu saya tegaskan, pilihlah satu kampung sebagai kampung angkat. Baru-baru ini, saya telah memanggil wakil-wakil daripada syarikat ini untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

“Setiap syarikat juga diminta mengambil beberapa sekolah sebagai sekolah angkat. Pada awalnya, saya mensasarkan 300 buah sekolah. Namun, sambutan amat menggalakkan sehingga lebih 1,000 sekolah di seluruh negara, termasuk di Kelantan, telah diambil sebagai sekolah angkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) Kelantan 2025, hari ini.

Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Manakala, Sekolah Angkat MADANI bertujuan merapatkan jurang pendidikan antara kedua-dua kawasan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE