KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-65 (MTHQA) yang bermula pada 2 Ogos lalu bakal melabuhkan tirainya malam ini.
Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 8.30 malam.
Penganjuran kali ini menyaksikan penyertaan 71 peserta dari 49 negara yang bersaing merebut gelaran Johan Qari dan Qariah bagi kategori tilawah, serta Johan Hafiz dan Hafizah bagi kategori hafazan Al-Quran 30 juzuk.
Malaysia diwakili oleh Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi untuk kategori tilawah, manakala kategori hafazan menampilkan Muhammad Adib Ahmad Rozaini dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif.
Keputusan pertandingan akan diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Bagi kategori tilawah, Johan Qari dan Qariah akan menerima wang tunai RM40,000, Naib Johan RM30,000, manakala tempat ketiga RM20,000, masing-masing disertakan hadiah iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.
Nilai hadiah yang sama turut ditawarkan bagi kategori hafazan.