KOTA BHARU, 9 Ogos - Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan import merupakan inisiatif kerajaan bagi membendung kegiatan penyeludupan yang masih berleluasa di kawasan sempadan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu turut bertujuan menggalakkan rakyat untuk memberi keutamaan kepada buah-buahan tempatan.
"Ada yang marah saya mengenai isu barang import, khususnya buah-buahan. Mereka bertanya, mengapa buah-buahan import perlu dikenakan cukai. Ini sebenarnya adalah salah satu cara saya untuk menggalakkan orang ramai membeli buah-buahan tempatan.
"Jika tidak, selamanya kita akan bergantung kepada penyeludupan dari Sungai Golok. Isu ini bukan sahaja melibatkan di Kelantan, tetapi juga di Kedah dan Perlis," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) Kelantan 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memuji buah avokado tempatan khususnya yang ditanam di Sabah mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding produk import.
"Avocado di Sabah itu kualiti dia lebih baik daripada avocado diimport. Ini hal-hal yang kita perlu beri perhatian, sebab itu Kelantan saya bincang selalu dengan Menteri Besar, apa lagi tumpuan kita, ekonomi selain daripada pertanian, apa yang boleh bagi tarikan lagi," katanya.