KOTA BAHRU, 9 Ogos - Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi menampung kenaikan gaji penjawat awam kepada RM18 bilion pada tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia merupakan tanda penghargaan terhadap penjawat awam atas keprihatinan terhadap kebajikan mereka dalam sektor perkhidmatan awam.
"Sebab itu, dalam Rancangan Malaysia Ke-13, kita tekankan bahawa apabila syiling (pendapatan maksimum) negara meningkat, lantai (pendapatan minimum) rakyat juga mesti dinaikkan. Ini sebabnya kita bercakap tentang kenaikan gaji minimum.
"Dahulu, gaji minimum hanyalah RM1,200. Namun, apabila Kerajaan MADANI mengambil alih, ia dinaikkan kepada RM1,500. Tahun lalu, ia naik lagi, dan tahun ini meningkat kepada RM1,700.
"Syarikat-syarikat milik kerajaan seperti Petronas, Telekom, Tenaga, dan bank-bank di bawah PNB, Yayasan Bumiputera, Khazanah, atau Tabung Haji semuanya telah diminta sejak tahun lalu untuk menaikkan gaji pekerja mereka. Saya kata, kena naik. Jangan hanya bangga dengan keuntungan besar jika rakyat pekerja kekal di tahap lama.
"Syarikat-syarikat kerajaan ini, yang menggaji ratusan ribu pekerja, telah menaikkan gaji minimum mereka ada yang mencecah RM3,100," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) Kelantan 2025 hari ini.
Langkah itu turut dipertimbangkan dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup termasuk dalam aspek pendidikan, kesihatan serta sebagai usaha untuk memastikan layanan yang adil kepada semua penjawat awam.
"Kita telah melaksanakan kenaikan tertinggi dalam tempoh 12 tahun yang terbesar dalam sejarah bagi penjawat awam. Tahun ini sahaja, penambahan peruntukan mencecah RM10 bilion, dan tahun hadapan mungkin meningkat sehingga RM18 bilion.
"Ini kerana mereka telah berkhidmat dengan kerajaan selama 12 tahun tanpa sebarang pertimbangan serius terhadap kos pendidikan, kesihatan, dan sara hidup yang semakin meningkat. Maka, saya fikir kita harus berlaku adil kepada mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan 'menaikkan lantai' pendapatan rakyat," jelasnya.
Tambah beliau, golongan nelayan, petani, pekebun kecil, dan penoreh getah juga menerima manfaat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini menerusi peningkatan pendapatan mereka.