fb fb fb fb fb

PMR 2025: Platform penting bawa maklumat, perubahan kepada rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KOTA BHARU, 9 Ogos - Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang diperkenalkan Kerajaan MADANI dilihat sebagai satu peluang penting untuk membawa maklumat dan perubahan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sesi libat urus bersama 300 syarikat dan persatuan dalam PMR Kelantan membantu mengumpulkan pandangan dan maklum balas secara terus dengan tujuan memahami keutamaan serta permasalahan sebenar yang dihadapi oleh rakyat.

Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk kos sara hidup, harga barang keperluan serta keperluan kepada pendidikan berkualiti dan teknologi baharu.

"Seperti yang saya tegaskan, program ini adalah program yang menyantuni rakyat. Rakyat tahu apa yang dilaksanakan, selalunya kita umumkan di peringkat Putrajaya atau Kota Bharu. Namun, kali ini kita minta rakyat sendiri menilai.

"Sesi libat urus bersama 300 syarikat dan persatuan seperti persatuan peniaga, nelayan, dan pekebun kecil, kami meminta mereka memberi pandangan dan menjawab beberapa soalan. Maklum balas ini sangat membantu kami dalam merangka program.

"Tujuannya adalah agar rakyat dapat melihat apa yang telah dilaksanakan, memberi pandangan, dan membolehkan kami memperbaiki pelaksanaan program tersebut," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) Kelantan 2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan ruang untuk kritikan sentiasa terbuka, namun rakyat juga perlu menerima kenyataan bahawa perubahan berlaku, meskipun masih belum mencukupi.

"Program seperti Program MADANI Rakyat ini adalah peluang untuk kita mendapatkan maklumat secara terus. Kalau ada yang tidak setuju, tidak mengapa boleh beri kritikan. Tetapi kita juga perlu terima hakikat bahawa memang ada perubahan, cuma belum cukup.

"Saya akui, saya pun setuju bahawa ia belum cukup. Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kita sering tekankan perkara ini. Kita tahu apa yang perlu dibuat, dan mesti disegerakan. Semua ini kita tekankan agar dapat memperbaiki keadaan dengan lebih cepat dan berkesan", katanya.

ROSLINA BINTI DIN