fb fb fb fb fb

Selangor komited perkasa ekonomi Orang Asli

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada pemberita selepas sambutan Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Selangor, di Sepang

SEPANG, 9 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor berhasrat memperkasa ekonomi Orang Asli dengan menjadikan hasil kreatif mereka sebagai cenderamata rasmi agensi dan majlis kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu akan bermula di peringkat kampung menghasilkan produk unik bernilai budaya dan warisan.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja mempromosikan identiti komuniti itu, malah membuka peluang pasaran baharu yang mampu meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita akan memulakan dengan mengambil beberapa produk Orang Asli sebagai cenderamata untuk jabatan kerajaan dan kerajaan negeri, bermula dari peringkat kampung hingga ke pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seterusnya.

"Keunikan ini boleh dimanfaatkan sebagai cenderamata bagi persidangan ASEAN dan sebagainya, sekali gus memperkenalkan produk tersebut ke peringkat lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Kebudayaan Orang Asli sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Selangor di kampung Orang Asli Kelinsing di sini hari ini.

Hadir Sama, Exco Hal Ehwal Orang Asli dan minoriti, V Paparaidu.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD