
KANGAR, 4 September – Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Perlis semalam membuahkan hasil apabila hujan di hampir seluruh negeri itu malam tadi hingga awal pagi hari ini, sekali gus menyumbang peningkatan paras air Empangan Timah Tasoh.
- Hujan antara 10 malam hingga 1 pagi membantu menaikkan paras Empangan Timah Tasoh daripada 27.00m kepada 27.15m.
- Bacaan paras air itu merupakan paras tertinggi sejak Januari lalu dan berada dalam julat normal.
- Kawasan Parlimen Kangar dan Padang Besar menerima lebih hujan berbanding Parlimen Arau.
- Empat kawasan mengalami hujan sederhana lebat; satu kawasan menerima hujan lebat di Tebing Tinggi.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Amir Budiman Abdullah berkata hujan dari 10 malam hingga 1 pagi itu membantu meningkatkan paras air empangan berkenaan iaitu merekodkan daripada 27 meter (m) kepada 27.15m.
Beliau berkata bacaan paras air itu merupakan paras air yang paling tinggi sejak Januari lepas dan paras tersebut juga adalah paras julat normal.
“Kawasan Parlimen Kangar dan Padang Besar menerima lebih hujan berbanding Parlimen Arau.
“Terdapat empat kawasan mengalami hujan sederhana lebat iaitu di Padang Besar, Ngulang, Kampung Bakau dan Kuala Perlis. Hanya satu kawasan terima hujan lebat iaitu di Tebing Tinggi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Amir Budiman berkata peningkatan paras empangan itu merupakan perkembangan positif susulan keadaan cuaca kering yang dialami sebelum ini.
Semalam Bernama melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan OPA memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan peluang hujan di kawasan sasaran dan kawasan tadahan khususnya bagi membantu meningkatkan serta mengekalkan paras air empangan.- BERNAMA