KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Sebanyak 281,381 premis diperiksa di seluruh negara menerusi pelaksanaan Op Selamat Paru-Paru (PaPa) yang dijalankan secara besar-besaran bagi memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].
Menerusi operasi itu, sebanyak 459 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kesalahan.
Ini termasuk 340 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 7 bagi kesalahan mengiklankan produk merokok, 68 kesalahan di bawah Seksyen 14, menjual produk merokok tidak mengikut harga dan syarat yang ditetapkan.
Selain itu, 51 kertas siasatan telah dibuka bagi kesalahan di bawah Seksyen 15, kerana mengilang, mengimport atau mengedar produk merokok tidak mengikut kehendak pembungkusan dan pelabelan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, memaklumkan operasi bersepadu itu merupakan antara tindakan tegas kerajaan dalam melindungi rakyat khususnya golongan muda daripada bahaya produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape.
“Kita harus berganding bahu sebagai ibu bapa, sebagai komuniti, sebagai negeri dan negara secara keseluruhan, termasuk Kerajaan Persekutuan bagi memastikan operasi ini berjaya dan mencapai objektifnya.
"Operasi ini bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi menjadi permulaan kepada satu era baharu, dimana paru-paru anak-anak kita kekal bersih, minda mereka sihat dan waras, serta kehidupan mereka bebas daripada produk merokok", katanya selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat PaPa Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Sementara itu, sebanyak 834 premis diperiksa di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menerusi operasi itu selama lima hari bermula 27 Julai lalu, sebanyak 28 kesalahan telah dikenal pasti, termasuk 14 premis yang gagal mempamerkan papan tanda larangan penjualan produk merokok kepada orang belum dewasa (OBD). Manakala, kesalahan pengiklanan produk merokok dan penjualan produk merokok secara dalam talian, masing-masing sebanyak tujuh kes.
Jika disabitkan kesalahan dibawah peruntukan Akta 852, denda sehingga RM300,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Op Selamat PaPa turut mendapat kerjasama agensi penguatkuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) serta pihak berkuasa tempatan.