KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kerajaan komited memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pasaran modal serantau dengan menampilkan ekosistem pelaburan yang kukuh, telus dan berpaksikan masa depan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap infrastruktur pasaran modal negara membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk menarik lebih banyak penyenaraian syarikat dari rantau ini.
“Pasaran kita memiliki asas yang kukuh, infrastruktur yang mantap, asas pelabur yang mendalam, tadbir urus yang baik serta potensi masa depan yang menjanjikan,” katanya di Majlis Penyenaraian UMS Integration Ltd di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Menurut beliau, usaha berterusan kerajaan untuk menambah baik kerangka kawal selia pasaran juga sejajar dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai platform pelaburan utama yang menghubungkan perniagaan ASEAN kepada pelabur global.
“Ekosistem kawal selia negara terus berkembang untuk menyokong pertumbuhan korporat, meningkatkan ketelusan serta mendukung agenda digital dan kewangan hijau,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaburan berasaskan nilai tambah tinggi, selari dengan tumpuan kerajaan terhadap inovasi, automasi dan amalan mampan yang merangkumi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pelaburan yang berteraskan inovasi dan kelestarian dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan daya saing syarikat, malah turut menyumbang kepada pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sekali gus mengukuhkan ketahanan ekonomi negara dalam jangka panjang.