fb fb fb fb fb

Pemasangan Wi-Fi di RKAT seluruh negara dijangka siap suku pertama 2026

Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KOTA KINABALU, 8 November - Kerja-kerja pemasangan Wi-fi di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di 73 Kem Angkatan Tentera seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagi Kem Tentera Darat Malaysia (TDM) Lok Kawi, pemasangan bagi penyediaan internet untuk 500 unit rumah ini akan siap pada penghujung tahun ini.

"Setakat ini kami dimaklumkan semua kerja kerja bagi hampir 500 unit rumah akan siap sebelum penghujung tahun. Ini melibatkan pemasangan. Bukan hanya kabel gentian optik dan pembinaan menara penghantaran monopole di sekitar Kem, malah hingga ke unit unit rumah.

"Kita akan sediakan nanti Internet 100 Mbps pada harga RM49 sebulan dan bagi enam bulan pertama akan dikurangkan RM10 menjadikan RM39 sebulan sahaja, dan untuk mereka yang tinggal di Kem Kem Angkatan Tentera bawah RKAT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan bagi meninjau kerja-kerja pemasangan Wi-fi dan Point of Presence (PoP) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan Sekolah Kebangsaan Kem Lok Kawi, di sini.

Dalam pada itu, lebih 600 buah sekolah di Sabah dijadikan sebagai pusat pemasangan Point Of Presence (PoP) bagi membekalkan kemudahan internet berkelajuan tinggi.

"Tahap kemajuan pada waktu ini adalah lebih 85 peratus yang telah siap. Jadi ini kemajuan yang sangat memberangsangkan dan saya percaya kita akan berjaya siapkan.

"Pihak kementerian telah memberi tempoh masa sehingga hujung tahun depan. Tapi bagi 15 peratus yang berbaki banyak daripada sekolah ini berada di kawasan Pulau. Jadi dari segi pemasangan gentian ini akan sedikit mencabar. Tapi pihak saya percaya pihak syarikat akan dapat melakukan pemasangan ini," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI