fb fb fb fb fb

Karnival MK3D 2025 terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang (tiga, kanan) bergambar bersama wakil Malaysia Book of Records (MBOR), Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah (tiga, kiri) bagi Largest Entrepreneurship Fair di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Foto-BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang merupakan pameran keusahawanan terbesar di negara ini menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, pengiktirafan itu adalah hasil gabungan tiga acara utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD), Sambutan Hari Peneroka FELDA (HPF), dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Gabungan tersebut melibatkan lebih 1,000 usahawan dan pempamer, dengan sebanyak 882 reruai keusahawanan disediakan sepanjang penganjuran karnival.

Menurut Datuk Rubiah, MK3D 2025 mencatat lebih 500,000 pengunjung dalam tempoh dua hari pertama, sekali gus melepasi sasaran awal dua juta pengunjung secara keseluruhan.

"Jualan yang disasarkan adalah sebanyak RM6 juta dan setakat ini kita telah mencapai lebih RM3.5 juta dalam tempoh hanya dua hari. Kita berharap esok dengan pelbagai program yang dianjurkan, produk-produk usahawan seperti gaya hidup, makanan dan sebagainya akan terus menjadi tarikan utama pengunjung," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan karnival tersebut di ibu negara.

Dalam majlis sama, Datuk Rubiah turut melancarkan platform digital i-Mesra, sebuah inovasi yang dibangunkan bagi memperkasa usahawan sektor makanan dan minuman (F&B) melalui akses kepada teknologi digital.

Platform tersebut dijangka membantu memperluas pasaran, meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh daya saing usahawan tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Melalui sistem ini, usahawan boleh mempercepatkan proses mendapatkan pensijilan halal. Malah, i-Mesra dibangunkan dengan mengambil kira keperluan dan elemen yang ditetapkan oleh pihak JAKIM agar selari dengan keperluan sebenar dalam permohonan sijil halal," jelasnya.

Platform i-Mesra turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan akan dilaksanakan secara strategik di bawah KKDW.

Sementara itu, turut berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB).

Kerjasama itu merangkumi lima bidang utama, iaitu perladangan; pengilangan dan perkilangan; penternakan; penternakan ikan; serta pertanian asas tani yang dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi desa secara menyeluruh.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN