fb fb fb fb fb

Op Samseng Jalanan di Pulau Pinang: lima motosikal disita, 57 saman dikeluarkan

FOTO Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya

BALIK PULAU, 13 November - Kira-kira lima buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah Barat Daya di sini, pada Sabtu hingga awal pagi hari ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam satu kenyataan berkata, kesemua motosikal itu disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Operasi itu dijalankan bermula 10 malam Sabtu diteruskan hingga 5 pagi hari ini di beberapa lokasi tumpuan mat rempit antaranya Bayan Lepas, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Bayan Baru.

"Secara keseluruhannya 57 keping saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas. Operasi itu juga dijalankan bagi memastikan motosikal mereka mengikut spesifikasi ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Selain membendung samseng jalanan melibatkan mat rempit, operasi itu juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas sedia ada.

Operasi berkenaan turut tertumpu di lokasi tumpuan mat rempit melakukan aksi berbahaya dan mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah.

TETITIA YUSOFF