fb fb fb fb fb

Op Kutip: 175 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan

KAJANG, 9 Ogos- 175 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 425 warganegara asing yang diperiksa Jabatan Imigresen (JIM) ditahan dalam Operasi Kutip (Op Kutip) tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan, antaranya tiada dokumen perjalanan yang sah dan pas lawatan tamat tempoh.

Jelas beliau, operasi yang dilakukan di Jalan Reko itu bermula pada pukul 12.00 tengah malam disertai 165 pegawai dan anggota JIM.

"Tangkapan yang dibuat juga termasuk mereka yang memegang surat 'silent seeker' daripada Myanmar terdiri daripada etnik Shan dan terdapat juga daripada surat ini yang telah tamat tempoh.

Mereka ini sudah mempunyai keluarga di sini jadi ia menunjukkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) bukan sahaja memberi taraf pelarian ataupun kad-kad UNHCR kepada Rohingya, tetapi juga kepada pelbagai etnik lain dari Myanmar," katanya selepas menyertai Op Kutip di sini.

(Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Imigresen)

Tambah beliau, serbuan turut menemui sebuah kediaman yang dijadikan pusat judi haram dalam talian.

Operasi berakhir pukul 3.00 pagi.

Media Baharu