fb fb fb fb fb

PM minta rakyat waspada, elak jadi mangsa godam, penipuan

KUALA LUMPUR, 9 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan aktiviti penggodaman akaun telegram yang disalahgunakan oleh sindiket penipuan.

Beliau meminta masyarakat supaya segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) jika berlaku kegiatan tersebut.

"Kita di peringkat pengguna ini pun kena berwaspada juga, kena berhati-hati, banyak cara untuk kita terjebak dalam apa yang mereka lakukan ini.

Jadi kepada para pengguna seperti saya dan lain-lain, jangan terpengaruh dengan apa-apa yang kita terima dan keduanya kita terus lapor kepada MCMC supaya tindakan segera dapat diambil," katanya kepada RTM di Parlimen.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri)

Sementara itu, beliau turut meminta MCMC supaya meningkatkan kawalan dalam membanteras aktiviti penggodaman dan sindiket penipuan.

Semalam, akaun telegram peribadi Datuk Seri Ismail Sabri digodam dan perkara tersebut dimaklumkan menerusi ciapan di Twitter beliau.

Susulan itu, Perdana Menteri meminta mereka yang menerima mesej daripada akaun berkenaan supaya mengabaikannya dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Perkara sama turut berlaku kepada telegram beberapa ahli parlimen termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Media Baharu