fb fb fb fb fb

Hasanah dilepas dan bebas tuduhan pecah amanah lebih RM50 juta

KUALA LUMPUR, 9 Ogos- Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab. Hamid daripada pertuduhan pecah amanah wang harta kerajaan berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta).

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati adalah tidak adil membiarkan pertuduhan terhadap Datuk Hasanah tergantung.

Pada April tahun lalu, beliau dilepas tanpa dibebaskan dari pertuduhan terbabit selepas pendakwaan memaklumkan terdapat penemuan baharu berkaitan kes berkenaan.

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi, Datuk Hasanah tidak boleh didakwa atas pertuduhan sama.

Pada 25 Oktober 2018, Datuk Hasanah mengaku tidak bersalah atas tuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri telah melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4juta) milik kerajaan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.


(Datuk Hasanah Ab. Hamid ketika keluar daripada bilik mahkamah)

Media Baharu