fb fb fb fb fb

Op Khas Pagar Laut: APMM rampas 70 kilogram daun ketum

KUALA PERLIS, 9 Mei– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Perlis merampas empat bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum seberat 70 kilogram bernilai RM12,600.

Rampasan dibuat di kedudukan 3.1 batu nautika dari barat daya Pantai Sungai Baru pada pukul 1.56 tengah hari semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, rampasan dibuat hasil aduan orang awam melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis berkaitan sindiket tempatan yang melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.

Jelas beliau, aset laut digerakkan bersama pasukan operasi untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi tersebut.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bot peronda menemui empat bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum terapung di laut dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Modus operandi suspek adalah sama seperti tangkapan sebelum ini, iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot-bot nelayan Thailand di sempadan perairan Malaysia-Thailand," katanya.

(Bungkusan mengandungi ketum yang dijumpai terapung di perairan Pantai Sungai Baru)

Tambah beliau, semua hasil rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserah kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Media Baharu