SEREMBAN, 28 Februari- Sebanyak 106 kertas siasatan melibatkan 64 syarikat dibuka Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menerusi Operasi Bersepadu Mega (Op Gegar) selama dua hari sejak semalam di seluruh Semenanjung dan Labuan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kamal Pardi, kesalahan tersebut melibatkan Akta Kerja 1955 kurungan Akta 265, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 kurungan Akta 446 serta Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 iaitu Perintah Gaji Mininum.
"Pihak JTK inginkan supaya pekerja-pekerja yang digajikan oleh pihak syarikat perlu diberikan kebajikan sewajarnya, tidak kira pekerja tempatan ataupun warga asing kerana mereka adalah warga ataupun manusia seperti kita semua yang memeralukan keperluan asas ataupun kehendak asas iaitu kemudahan penginapan ini.
"Jadi saya berharaplah supaya pihak majikan mengambil maklum dan tindakan sewajarnya", katanya kepada pemberita selepas selesai melakukan serbuan Op Gegar di Sungai Gadut, Seremban.
Operasi tersebut dilaksanakan bermula semalam membabitkan seramai 64 majikan yang terdiri daripada sektor perladangan, pembuatan serta pembinaan di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sepanjang dua hari operasi tersebut dijalankan, seramai 2,035 pekerja tempatan dan 3,802 pekerja warga asing telah diperiksa.
Dalam pada itu, seramai 160 warga asing telah diperiksa di sekitar Sungai Gadut.
Sementara itu, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam menyarankan majikan untuk menempatkan pekerja asing mereka di di pusat penempatan pekerja asing (CLQ) yang berdaftar.
Dianggarkan sebanyak 25 buah CLQ yang terdapat di negeri itu.
"Jadi saya minta pihak berkuasa tempatan (PBT) Negeri Sembilan di mana-mana kawasan daerah masing-masing minta buat penguatkuasaan.
"Sila ke lokasi penginapan-penginapan haram pekerja asing dan ambil tindakan. Kalau tiada kebenaran itu memang menjadi kesalahan", katanya kepada media semasa hadir dalam operasi tersebut pada hari kedua.