fb fb fb fb fb

Pasar Payang dicadang jadi Central Market

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Pasar Payang dicadangkan menjadi Central Market atau Pusat Pasar Utama di Terengganu dengan menjual pelbagai produk barangan keseniaan, kraftangan, kebudayaan dan pelancongan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan-KPKT Nga Kor Ming berkata Katanya, cadangan itu mampu melonjak sosio ekonomi dan taraf hidup masyarakat setempat terutama peniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong apabila kompleks dijenamakan seperti Central Market Kuala Lumpur.

"Saya telah pun mencadangkan kepada yang Menteri Besar supaya Pasar Payang ini dijadikan ataupun dinamakan sebagai Central Market Terengganu supaya ia menjadi satu kompleks pasar yang tersohor dan antara yang paling cantik di seluruh negara khususnya dalam usaha kita untuk membuat persiapan rapi menjadi pengerusi ASEAN tahun depan dan menjelang tahun 2026 adalah tahun Melawat Malaysia dan kerajaan Persekutuan dengan persiapan yang dibuat, kita menjangkakan di mana ketibaan pelancong akan meningkat ke 35 juta orang", katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang 1 dan Majlis Kick-Off Program Bandar Selamat (PBS) Tahun 2024 di sini.

Projek pembangunan semula Pasar Payang yang berusia lebih 50 tahun dilaksana di tapak sedia ada, membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM70.03 juta.

Fasa pertama projek bermula dengan pembinaan pasar sementara dikenali Pasar Payang 2 yang terletak kira-kira 80 meter dari tapak asal, serta siap pada Mei 2019.

Pembangunan semula Pasar Payang 1 yang bermula Ogos 2019 siap sepenuhnya pada 19 Julai 2023, membabitkan pembinaan bangunan dua tingkat bagi menempatkan 412 lot kedai dan 369 petak jualan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD