CYBERJAYA, 15 Mei- Pelaksanaan operasi menggempur penyelewengan dan ketirisan gas memasak bersubdisi (Op Gasak) bukan untuk menarik subdisi ke atas gas petroleum cecair (LPG).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu untuk mengekang ketirisan dan memperkasa peruntukan sedia ada.
"Kita melaksanakan Op Gasak kerana ia sebahagian gerakan membanteras ketirisan dan manipulasi dalam aktiviti perniagaan. Pada tahun lepas Op Tiris pun kita gerakkan namun kita melihat ada keperluan untuk kita membuat satu gerakan khusus yang terkait dengan gas memasak (LPG) ini kerana aduan mengenainya semakin meningkat setiap tahun.
"Kemudian, daripada segi nilai subsidi kerajaan juga meningkat saban tahun. Nilai subsidi untuk LPG pada tahun 2023 adalah RM3 bilion. Manakala pada tahun 2024 pula meningkat kepada RM3.4 bilion. Bukan sedikit tetapi jumlah besar."
"Saya tegaskan di sini bahawa pendekatan melalui Ops Gasak ini bukan untuk menarik subsidi. Subsidi dikekalkan namun apa yang kita buat melalui Op Gasak ini untuk memastikan ketirisan subsidi dapat dikekangkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Akses Pasaran Runcit dan Majlis Penghargaan Usahawan Sektor Peruncitan.
Tambahnya perkara itu bukan peraturan baharu malah undang-undang sedia ada yang dikuat kuasakan.
“Ada industri yang tidak layak untuk mendapat subsidi gas yang mendapatkan gas melalui kaedah decanting iaitu memindahkan gas dari tong yang ditetapkan untuk tujuan subsidi kepada tong untuk penjualan industri.
“Kita mahu pihak ini sedar bahawa mereka tidak sewajarnya menggunakan subsidi itu untuk kepentingan sendiri kerana ia perlu sampai kepada rakyat yang memerlukan,” katanya lagi.
Selain itu, aduan berkaitan sukatan isi padu tong gas yang tidak mencukupi akan turut diberi perhatian menerusi Op Gasak.
Datuk Armizan berkata ketirisan subsidi gas memasak perlu ditangani segera kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan.