fb fb fb fb fb

Malaysia-AS sepakat teruskan rundingan tarif, semikonduktor antara fokus utama

FOTO FB Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Perbincangan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif timbal balas setakat ini berjalan lancar.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, kebanyakan isu boleh diselesaikan, manakala sebahagian lagi memerlukan penelitian lanjut, khususnya berkaitan sektor strategik negara.

Jelasnya, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Jeju, Korea Selatan.

Delegasi Malaysia akan meneruskan rundingan di Washington pada pada 28–30 Mei ini diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Mastura Ahmad Mustafa.

Kedua-dua pihak katanya telah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) dan tidak boleh mendedahkan butiran perbincangan, namun ia berkaitan dengan sektor-sektor penting negara.

Beliau yang turut dijadual ke AS Jun depan untuk perbincangan lanjut menjelaskan, antara sektor yang menjadi tumpuan ialah semikonduktor yang bukan hanya penting untuk Malaysia, malah melengkapi keperluan industri di AS.

Selain itu, perbincangan dengan AS juga menyentuh aspek memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE