fb fb fb fb fb

17 LPG, lebih 13,000 minyak diesel dirampas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas sebanyak 17 unit gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram dan 13,040 liter disyaki minyak diesel

BANDARAYA MELAKA, 15 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas sebanyak 17 unit gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram dan 13,040 liter disyaki minyak diesel.

Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, rampasan dibuat menerusi Op Gasak 2025 dan Op Tiris 2025 pada 13 dan 14 Mei lalu.

"Operasi pertama pada 13 Mei lalu, dilakukan di Klebang Besar dan pihaknya merampas 17 unit gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram dan barang rampasan bernilai RM2,149.82.

"Hasil pemeriksaan mendapati, pemilik gagal mengemukakan permit atau lesen menyimpan barang kawalan LPG dan seorang lelaki warga tempatan ditahan untuk membantu siasatan," kata Mohd Hazimin.

Manakala operasi kedua dilakukan pada 14 Mei di Alor Gajah dan pihaknya menemui 13,040 liter yang disyaki minyak diesel dengan nilai rampasan RM46,048.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang dokumen permit atau lesen bagi berurusan dengan barang kawalan yang disyaki minyak diesel," tambahnya.

Seorang lelaki warga tempatan juga ditahan bagi membantu siasatan dan kedua-dua kes berkenaan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI