fb fb fb fb fb

Op Gasak: 1,105 tong gas dirampas di Bentong

Foto KPDN Pahang

KUANTAN, 11 Julai -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas 1,105 tong gas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM621,000 menerusi Op Gasak di Jalan Manchis, Bentong.

Premis tersebut telah disyaki menjalankan aktiviti menjual gas petroleum cecair (LPG) secara borong tanpa lesen yang sah.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, operasi itu merupakan hasil risikan yang dijalankan selama sebulan terhadap premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit menemui tiga lori membawa muatan tong gas yang dipercayai untuk tujuan penghantaran atau penyimpanan.

"Berdasarkan dokumen yang dikemukakan, lesen borong LPG milik premis berkenaan telah tamat tempoh.

"Sekali gus wujud pelanggaran undang-undang di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu menjual secara borong barang kawalan tanpa lesen yang sah," katanya menerusi kenyataan.

Turut dikesan, kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu mengalih barang kawalan dari lokasi berlesen ke lokasi tidak berlesen.

Siasatan awal juga mendapati muatan tong gas yang ditemui sepatutnya dihantar ke premis lain di Mentakab, namun telah dialihkan ke premis yang berbeza daripada alamat yang dinyatakan dalam invois.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM