SHAH ALAM, 11 Julai -Dua lori terbabit dalam kemalangan di Jalan Besar Sabak Bernam, Sungai Besar, di sini, semalam menyebabkan berlaku tumpahan asid nitrik berkepekatan tinggi.
Kejadian pukul 7 malam itu membabitkan sebuah lori yang membawa muatan bahan kimia bertembung dengan lori lain sehingga menyebabkan tong mengandungi bahan kimia terjatuh dan bocor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.01 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati berlaku kemalangan membabitkan lori membawa bahan kimia dan sebuah lori lain. Akibat rempuhan, beberapa tong yang mengandungi bahan kimia terjatuh dan mengalami kebocoran.
“Terdapat tumpahan asid nitrik 68 peratus membabitkan 40 tong dan juga kalsium hipoklorit 70 peratus dalam 24 tong. (Kepekatan bahan merujuk kepada tahap kimia, bukan kadar tumpahan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kepada pemandu lori yang turut berada di lokasi.
“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bertindak membersihkan sisa kimia terbabit sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 2.42 pagi tadi,” katanya.
Tambah beliau, operasi berkenaan membabitkan 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, BBP Sungai Besar serta dibantu pasukan Hazmat dari BBP Rawang.