KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Program Jualan Rahmah Madani sempena Program Madani Rakyat 2025 Terengganu terus jadi tumpuan penduduk yang mahu berjimat belanja bulanan.
Penduduk mula membanjiri tapak jualan seawal 7.30 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan asas dengan potongan harga sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
Tinjauan mendapati orang ramai menyambut baik penganjuran program itu dan berharap ia diadakan lebih kerap serta diperluaskan ke lebih banyak kawasan.
“Bagi saya program ini sangat membantu masyarakat, terutamanya suri rumah dan pengusaha kedai makan. Kalau boleh, buat lebih kerap sebab banyak barangan asas dijual murah,” kata Norshahira Mohd Shamsul Akmal.
Seorang lagi pengunjung, Ang Suang Ngor pula menyifatkan program itu sangat berbaloi kerana menawarkan banyak pilihan dan harga yang lebih rendah berbanding pasar raya.
“Saya dari Tok Jembal, singgah sini lepas balik dari Pasar Payang. Harga murah, memang bantu rakyat susah terutama golongan B40," kata peniaga Mohd Lukman Mohd Kamal.