MERSING, 8 April - Operasi Carilamat bagi mengesan tiga penyelam warga asing yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol dekat sini sejak Rabu, diteruskan pagi ini.
Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata operasi yang memasuki hari ketiga pencarian mangsa dimulai sejak awal pagi dan sebuah pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digerakkan pada 6.30 pagi tadi.
"Operasi hari ini diteruskan bermula pukul 3 pagi tadi melibatkan aset bot maritim Perkasa 31, lima bot GGK dan bot polis marin digerakkan ke lokasi pencarian di bahagian selatan, bahagian perairan Sedili dengan keluasan sektor pencarian aset laut kira kira 335.79 batu nautika persegi.
"Sementara sektor pencarian udara seluas 739.64 batu nautika persegi melibatkan empat aset udara," katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini hari ini.
Beliau berkata agensi lain yang terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Gerup Gerak Khas (GGK) Kem Iskandar Mersing, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Semalam, Kristine Grodem, 35, warga Norway, ditemukan selamat dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi.
Usaha mencari tiga lagi mangsa iaitu Alexia Alexandra Molina (18, warga Perancis); Adrian Peter Chesters (46, warga British) dan anaknya, Nathen Renze Chesters (14, warga Belanda), diteruskan hari ini.- BERNAMA
(Operasi Carilamat diteruskan bagi mengesan tiga penyelam warga asing yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol)