fb fb fb fb fb

Op ATM: KPDNHEP Perak kesan 15 kesalahan berkaitan minyak masak

IPOH, 16 Julai - 15 kesalahan melibatkan minyak masak dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak hasil daripada 675 pemeriksaan di bawah Operasi Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM) sejak 1 Julai lalu.

Satu daripadanya membabitkan kes pembelian bersyarat terhadap pembelian minyak masak peket sekilogram bersubsidi di Parit Buntar.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata berikutan kesalahan itu pihaknya telah merampas 2,162 peket minyak masak bernilai RM5,405 daripada premis berkenaan.

(Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Mohamed Aznanshah Khalid)

"Baki daripada kes itu kebanyakannya adalah kita syaki mereka telah mengedarkan minyak masak yang diselewengkan, jadi kes-kes tersebut masih dalam siasatan kami.

"Peringkat siasatan yang teribat adalah daripada pihak yang melakukan pembungkusan semula iaitu daripada pemborong dan peruncit," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjuan operasi tersebut, di sini.

Tambah Aznanshah, setakat ini bekalan minyak masak di Perak masih dalam keadaan terkawal dan mencukupi.

Katanya, hanya empat aduan diterima KPDNHEP berkaitan kekurangan bekalan di pasaran.

Pada masa sama, pihaknya turut meminta syarikat pembungkusan minyak peket bersubsidi agar mewujudkan stok penimbal bagi mengatasi masalah tersebut.

Media Baharu