fb fb fb fb fb

NIOSH sokong usaha tangani kesihatan mental penjawat awam

NIOSH menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam / Foto Hiasan / Bernama

BANDAR BARU BANGI, 7 Oktober – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.

Ini menerusi pelbagai inisiatif, termasuk melatih penjawat awam sebagai penyedia bantuan awal psikologi di tempat kerja.

"NIOSH kini sedang melatih 10,000 peserta secara percuma di bawah program Kursus Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan atau Occupational Psychological First Aid (OPFA).

"Modul OPFA ini dibangunkan berasaskan modul Pertolongan Asas Psikologi (PFA) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Negara (NCEMH) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia," menurut NIOSH menerusi kenyataan.

Kursus yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan memberi kesedaran serta kemahiran asas kepada majikan dan pekerja untuk mengesan serta menguruskan tekanan di tempat kerja.

"NIOSH menyokong cadangan Kerajaan MADANI untuk mengambil langkah pencegahan segera, pemulihan, serta penyelidikan bagi mengelakkan masalah kesihatan mental yang lebih serius di kalangan penjawat awam," tambah NIOSH.

Menurut piawaian ISO 45003:2021, faktor seperti cara kerja, sosial, persekitaran, dan amalan buli di tempat kerja dikenal pasti sebagai punca utama masalah psikologi.

Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS) melaporkan 2.3 peratus rakyat Malaysia mengalami kemurungan, manakala kajian Relate Mental Health Malaysia 2018 mendapati 29 peratus pekerja mengalami masalah kesihatan mental yang tidak memuaskan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN