fb fb fb fb fb

KPM tidak kompromi kes buli

Foto BERNAMA

KAJANG, 7 Oktober- Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan kes buli di mana-mana institusi pendidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan perkara itu ketika diminta mengulas mengenai kes buli yang membabitkan anak lelaki seorang artis popular, yang turut dilaporkan menjadi mangsa.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa buli tetap buli, tidak kira anak siapa pun, sama ada anak selebriti atau anak menteri.

"Jadi, kita tidak akan berkompromi dalam soal ini, dan kita telah mengambil tindakan tegas bersama pihak autoriti serta menegaskan garis panduan yang telah ditetapkan. Oleh itu, saya ingatkan bahawa seluruh ekosistem persekolahan perlu dipastikan selamat," katanya dalam sidang media sempena majlis perasmian Program Tekad Reformasi Pendidikan Negeri Selangor di sini.

Baru-baru ini, penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah, mendakwa bahawa anak lelakinya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama.

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes buli tersebut.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM menangguhkan keputusan pertukaran guru-guru dari 12 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Pasir Gudang, Johor, yang sepatutnya mengajar di sekolah lain.

Langkah tersebut diambil kerana terdapat banyak faktor yang tidak dipertimbangkan ketika arahan pertukaran itu dibuat sebelum ini.

Jelas Fadhlina, keputusan penangguhan tersebut sehingga proses-proses berkait rapat pembelajaran dan pendidikan murid-murid di sekolah terbabit dapat diteruskan.

Beliau menambah bahawa pertukaran akan dilakukan secara berfasa mulai tahun hadapan.

"Pertukaran kerja guru adalah perkara biasa, tetapi isu ini diambil perhatian kerana ia harus mempertimbangkan beberapa aspek penting, termasuk memastikan proses pembelajaran anak-anak tidak terganggu semasa pertukaran guru berlaku.

"Jadi, kerana isu tersebut mendapat perhatian banyak pihak dan kita juga melihat ada faktor-faktor yang tidak dipertimbangkan ketika arahan pertukaran itu dibuat, maka kita telah tangguhkan keputusan pertukaran itu," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, memohon agar pertukaran tersebut ditangguhkan selepas guru-guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS), termasuk ibu bapa, bertemu dengannya untuk memohon penangguhan pertukaran itu.

Menurutnya, mereka tidak membantah proses pertukaran, tetapi berpendapat bahawa adalah lebih baik jika ia dilakukan pada awal atau akhir tahun.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM