KUALA KANGSAR, 7 Oktober - Pertandingan Malaysia Techlympics 2024 peringkat Zon Utara mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 5,784 pelajar dari 260 sekolah.
Program Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu, mengetengahkan 40 modul yang berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pendedahan pelajar sekolah.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata program lebih menitikberatkan pengalaman secara dekat yang dilakukan secara tidak formal di luar bilik darjah.
Techlympics adalah usaha MOSTI bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri teknologi negara yang berkembang pesat.
Modul robotik, pembangunan teknologi hidrogen dan cabaran minda bagi pelajar kelainan upaya antara pertandingan yang mencuri tumpuan di Dewan Jubli Kuala Kangsar.
"dan apa yang mereka perlu buat. mereka kena buat robot. gabungkan robot itu daripada asas dari komponen-komponen kecil sehingga siap. dan kemudian robot perlu diprogram dan perlu digerakkan" kata Prof Madya Yasir Mohd Mustafah, pengarah Makers Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sementara itu, guru penasihat Siti Aishah Abu Bakar berkata pelajar sekolah rendahnya mendapat pengalaman berharga daripada blueprint teknologi dan ekonomi hidrogen.
Mereka dapat mempelajari kebaikan teknologi hidrogen untuk kelestarian alam sekitar.
Manakala Abdullah Mujahid Muhammad Solahudin, peserta dan pelajar kelainan upaya, (OKU) berkata program banyak meningkatkan fokus dan daya intelektual serta kebolehan menyelesaikan masalah
Sebanyak 69 pasukan Zon Utara akan meneruskan cabaran peringkat kebangsaan di Putrajaya pada November nanti.