KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Seramai 301 penduduk daripada 85 keluarga yang terjejas akibat banjir di Perak masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 5.00 petang tadi.
Menerusi Info Bencana JKM, banjir di Perak membabitkan daerah Hilir Perak, Kerian serta Larut, Matang dan Selama.
"Ia (banjir) melibatkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang (50 penduduk), Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak (131 penduduk), SK Changkat Lobak (70 penduduk) dan SK Parit Haji Aman (50 penduduk)," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, di Johor, setakat pada pukul 4.00 petang, empat PPS di Kluang telah ditutup, manakala satu lagi PPS telah dibuka di Pontian.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan bahawa seramai 530 orang masih berlindung di lapan PPS di tiga daerah di negeri itu.
"Kluang kekal dengan jumlah penduduk paling ramai dipindahkan, iaitu 318 orang, diikuti Pontian (197 orang) dan Batu Pahat (15 orang)," menurut kenyataan itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan bahawa Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, dan Kulai akan mengalami ribut petir dan hujan lebat.