JOHOR BAHRU, 7 Oktober - Penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 akan melibatkan 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja meliputi sektor kerajaan dan swasta.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjunjung kasih kepada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas perkenan penukaran cuti hujung minggu di negeri ini kepada hari Sabtu dan Ahad.
Menerusi hantaran di facebook, Datuk Onn Hafiz berkata penyelarasan tersebut akan menitikberatkan seluruh aspek termasuklah agama islam tanpa mengetepikan penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari.
Kerajaan Johor bersama Mufti negeri dan agensi berkaitan akan memperincikan waktu kerja yang sesuai terutamanya pada hari Jumaat bagi memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk umat islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya.
Penyelarasan ini juga akan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan sektor awam dan sektor swasta, memberi ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa dan membantu memudahkan aktiviti rentas sempadan serta aktiviti perniagaan.