fb fb fb fb fb

Anwar ulangi komitmen pastikan Malaysia terus berkembang

Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Oktober-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus berkembang maju dalam persekitaran global masa kini.

Anwar juga menekankan kepentingan negara untuk memberi tindak balas secara holistik dan mengutamakan kesejahteraan Malaysia bagi jangka panjang.

"Respons kita mestilah holistik, diselaraskan, dan paling utama untuk memberi tumpuan kepada kesejahteraan jangka panjang negara.

"Rangka Kerja Ekonomi MADANI yang saya perkenalkan tahun lepas menggariskan bagaimana Malaysia boleh membuat persediaan menghadapi ekonomi global yang semakin dinamik dan kompleks," kata Anwar.

Sementara itu, pembangunan negara perlu bergerak maju ke hadapan dengan mengambil kira penyelesaian terbaik bagi memastikan kesejahteraan rakyat. 

Anwar berkata, ke arah itu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada Mei lalu.

Jelasnya, penjimatan yang diperoleh melalui penyasaran subsidi diesel itu membolehkan manfaat disalurkan semula kepada rakyat.

"Malaysia seperti kebanyakan negara, berada di persimpangan yang kritikal, sama ada untuk melangkah ke hadapan atau dibiarkan terdedah kepada kemusnahan. Pembangunan kita mesti berpandangan ke hadapan, dan penyelesaian kita mesti berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat, menangani ketidaksamaan, dan memupuk pemikiran tanggungjawab bersama dan inovasi.

"Berbilion ringgit yang dijimatkan kini disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk subsidi lain dan pemberian tunai. Dan itulah yang telah kita kerajaan lakukan dan akan terus lakukan, seterusnya.. kita akan dengan berani dalam melaksanakan pembaharuan struktur," katanya.

Tegas beliau, Malaysia kekal dengan pendirian untuk memastikan kemajuan negara dicapai serta mengekang ketidaksamaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan kini sedang bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk meningkatkan pembiayaan modal teroka dalam bidang inovasi dan teknologi untuk tempoh lima tahun akan datang.

Kerjasama itu dijalin dengan menyedari kepentingan sektor inovasi dan teknologi yang disifatkan sebagai pemacu utama ke arah pertumbuhan dunia pada masa ini.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM