BANGI, 13 Ogos – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menggesa semua pengusaha dan pengendali bot pelancongan memperketat langkah keselamatan.
Ini susulan pelbagai insiden melibatkan pengangkutan air termasuk tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian pada 28 Jun lalu yang mengorbankan nyawa dan mencederakan penumpang.
Menurut NIOSH dalam satu kenyataan, semua pengusaha wajib mematuhi undang-undang dan standard keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, garis panduan keselamatan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.
Akta tersebut mewajibkan majikan dengan lima atau lebih pekerja melantik Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk memastikan pematuhan perundangan dan pelaksanaan program keselamatan di tempat kerja.
Bagi membantu pengusaha memenuhi keperluan ini, NIOSH menawarkan latihan keselamatan, kursus Penyelaras KKP, latihan asas KKP, pertolongan cemas termasuk kemahiran menyelamat di air.
Selain itu, pengusaha digalak melaksana Sistem Pengurusan Keselamatan Pelancongan Kembara bagi mengenal pasti risiko, merancang kawalan keselamatan dan menyediakan keperluan keselamatan kepada peserta aktiviti pelancongan.
Sistem ini menekankan audit dan penilaian keselamatan secara berkala, pematuhan piawaian, serta kewajipan memiliki lesen operasi yang sah.
Institut itu juga mengesyorkan sesi orientasi keselamatan kepada pelancong sebelum aktiviti dijalankan, termasuk tatacara penggunaan jaket keselamatan dan panduan menghadapi kecemasan.
Kerjasama antara NIOSH, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengusaha pelancongan akan diperkukuh menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Orang awam turut digalak melaporkan pelanggaran peraturan seperti membawa penumpang melebihi had, kegagalan menyediakan jaket keselamatan atau operasi ketika cuaca buruk.