fb fb fb fb fb

JKDM Kuala Lumpur rampas rokok seludup RM2 juta di Klang

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud (dua dari kanan) menunjukkan rokok kretek dan rokok putih yang dirampas. Foto-RTM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Sebanyak 2.4 juta batang rokok import pelbagai jenama disyaki tidak berkastam bernilai keseluruhan RM2 juta termasuk cukai dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur dalam serbuan di kawasan parkir kontena, Jalan Telekom, Kampung Johan Setia, Klang, pada 9 Julai lalu.

Pengarah JKDM Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud, berkata serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan sejak tengah malam.

Menurutnya, rokok putih dan kretek yang dirampas memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, selaras dengan Peraturan 42(1), Peraturan-peraturan Kastam 2019.

“Hasil risikan sejak jam 12 tengah malam, pasukan kami menyerbu kawasan parkir kontena di Jalan Telekom, Kampung Johan Setia, Klang, dan menemui sejumlah dagangan disyaki rokok putih dan kretek import yang merupakan barang larangan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau mendedahkan, modus operandi suspek adalah menyimpan stok rokok dalam sebuah kontena 40 kaki yang dijadikan tempat penyimpanan kekal sebelum diedarkan kepada pembekal tempatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import.

Sehingga Jun tahun ini, JKDM Kuala Lumpur merekodkan 160 kes berkaitan rokok dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM35 juta.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN