KUALA LUMPUR, 13 Ogos – ASEAN disaran menubuhkan Pasukan Petugas Kemahiran Hijau dan Digital ASEAN sebagai inisiatif bersama melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa depan serta mampu bersaing di peringkat global.
Cadangan yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berperanan sebagai platform penyelarasan tindakan konkrit yang disokong sepenuhnya semua negara anggota ASEAN bagi membangunkan bakat mengikut keperluan semasa pasaran kerja.
"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk merekodkan pandangan-pandangan ini kerana saya tidak mahu ia sekadar menjadi dialog semata-mata. Ia mesti mencetuskan dasar yang memenuhi keperluan pasaran, membuka peluang kepada semua, menjadikan majikan rakan kongsi sebenar, serta mempercepatkan pembelajaran berteknologi tinggi.
"Mungkin, daripada perhimpunan ini, kita dapat menubuhkan satu gerakan serantau baharu Pasukan Petugas Kemahiran Hijau dan Digital ASEAN yang menyatukan kita dalam tindakan konkrit, sasaran yang boleh diukur, dan sokongan bersama yang kukuh untuk membangunkan bakat yang diperlukan oleh rantau kita," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama merasmikan Persidangan TVET ASEAN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara hari ini.
Persidangan selama dua hari itu menghimpunkan lebih 1,500 peserta termasuk pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia pendidikan, pertubuhan pekerja dan rakan pembangunan antarabangsa dari seluruh ASEAN.
Perbincangan berfokus kepada isu jurang kemahiran, permintaan tinggi
terhadap bakat digital dan hijau, inovasi sebagai pemacu ekonomi, serta cadangan kerjasama rentas sempadan bagi program latihan dan pensijilan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menekankan kejayaan transformasi TVET di Malaysia, termasuk kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95.1 peratus.
Lebih 430,000 pelajar mengikuti pengajian di institusi TVET, dan peningkatan mendadak permohonan kemasukan melebihi 200,000 setahun.
Jelasnya, model Malaysia yang menghubungkan potensi luar bandar dengan daya saing serantau wajar dijadikan contoh kepada negara ASEAN lain.
Dengan penubuhan Pasukan Petugas Kemahiran Hijau dan Digital ASEAN, rantau ini dapat membentuk tenaga kerja yang inklusif, bersedia menghadapi masa depan dan berupaya menerajui industri TVET global melalui tindakan bersatu, sasaran yang jelas dan sokongan berterusan.