KLANG, 13 Ogos - Usaha membanteras gejala buli harus bermula di rumah dengan didikan serta pengawasan ibu bapa.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembentukan sahsiah anak-anak memerlukan peranan aktif keluarga dan komuniti bagi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat serta berdisiplin.
Beliau menegaskan, tanggungjawab membendung buli tidak wajar diletakkan sepenuhnya kepada pihak sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.
"Ia bermula dari rumah, dari persekitaran dan tidak hanya melihat isu di sekolah secara keseluruhan. Kita perlu berganding bahu menyelesai dan mengangkat isu ini. Kita hendak lihat secara terperinci.
"Ia berlaku di sekolah-sekolah berasrama dan saya hendak melihat di sekolah-sekolah agama yang dikelolakan oleh negeri supaya hal ini dapat kita perhatikan dan elakkan dari berlaku kerana terdapat kesan serius. Saya akan mengambil tindakan setinggi, sekeras mungkin. Elakkan kerana melibatkan kesan secara psikologi, fizikal dan kesan kecederaan sehingga membawa kematian", katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2025 di Klang.
Sebanyak RM26.62 juta diperuntukkan kepada 873 sekolah di seluruh negeri bagi membaik pulih infrastruktur sekolah dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Bantuan itu meliputi pelbagai kategori sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil, SJK Cina, sekolah mubaligh, sekolah menengah persendirian, sekolah kebangsaan dan sekolah agama rakyat.