AYER KEROH, 7 April - Sebanyak RM72 juta tunggakan cukai tanah dan petak negeri Melaka dicatat sehingga kini.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, bagi tahun 2020, kutipan cukai tanah dan petak adalah sebanyak RM86.607 juta manakala 2021 meningkat kepada RM90.107 juta.
Katanya, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021, rata-rata penduduk mengalami kesukaran untuk menjelaskan cukai tanah dan petak masing-masing.
Pengenalan kaedah pembayaran cukai menerusi Jom Pay dijangka dapat memudahkan mereka menjelaskan bayaran hutang mereka.
Menurut beliau, menerusi kaedah itu, sebanyak 11,000 transaksi telah direkodkan bersamaan nilai RM1.5 juta sejak 1 Mac lalu.
"Jadi kepelbagaian kaedah pembayaran ini wajar untuk di pertimbangkan memandangkan dalam tempoh pandemik COVID-19 hampir 2 tahun lalu menyukarkan orang ramai untuk membayar cukai.
" Disebabkan pelaksaan PKP sebelum ini, hasil kutipan kerajaan negeri berkurangan, bukan disebabkan keengganan orang ramai menjelaskan cukai tetapi kekangan oleh pandemik." katanya
Beliau berkata demikian selepas sidang media pasca mesyuarat exco di Seri Negeri, di sini hari ini.
Sulaiman berkata kaedah pembayaran Jom Pay yang mula diperkenalkan kerajaan negeri pada 1 Mac lalu melibatkan 42 bank.
Tambahnya kerajaan negeri turut menampung caj perkhidmatan bagi setiap transaksi kepada 400,000 pemilih tanah dan strata negeri Melaka.
(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali)