fb fb fb fb fb

Nilai murni perlu dipupuk menerusi institusi keluarga- PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) Tahun 2023 di sini, hari ini.

PUTRAJAYA, 4 November- Nilai-nilai murni menjadi tunggak dan perlu dipupuk sejak awal menerusi institusi kekeluargaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia sekali gus, mengangkat tamadun negara seiring kemajuan pembangunan, dengan meninggalkan amalan rasuah dan penyelewengan. 

"Sebab Madani menekankan soal nilai, akhlak dan kemanusian, yang mana dalam pembinaan negara tidak ditekanka kerana ditekankan pembangunan, ekonomi. Semua itu penting tetapi negara akan menjadi hebat apabila tamadun terangkat jika dipupuk nilai terdirinya tamadun besar tetapi sebaik saja nilai itu runtuh, negara boleh maju, teknologi makin tinggi tapi nilai mulai runtuh menyebabkan kemungkaran,  rasuah penyelewengan diizinkan. Itu petanda bibit permulaan runtuhnya tamadun .Dari mana kita pupuk ini? Dari keluarga," katanya.

Anwar berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) Tahun 2023 di sini, hari ini yang turut dihadiri isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan tahun ini mengangkat tema “Keluarga Harmoni, Negara MADANI” dan disambut di setiap negeri sepanjang November sebagai tanda sokongan dan kerjasama strategik rentas agensi, jabatan dan kementerian dalam memartabatkan institusi keluarga.

Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar turut menekankan pentingnya perasaan ihsan dan kasih sayang untuk dipupuk dalam diri individu. 

Beliau menjelaskan ia mampu menghadirkan rasa simpati akan penderitaaan orang lain, sepertimana yang berlaku di Palestin ketika ini.

"Dunia sekarang saban hari tentang kekejaman di Gaza. Kita tersentuh, hati nurani kita sebab kita dilatih mengenal ihsan dan kasih sayang, apa itu rahmah dan kasih sayang, kemanusiaan…mereka tidak semestinya satu kaum dengan kita. Palestin itu orang Arab, ada Islam, ada Kristian tetapi latihan asas keluarga untuk tahu apa itu kebaikan dan kebenaran, kemanusiaan menyebabkan perasaan kita itu terguris apabila ada kezaliman," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI